Penulisan karangan amat penting ke arah Kecemerlangan mata pelajaran Bahasa Melayu kerana kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1) SPM menghasilkan 130 markah. Bahagian A kertas Bahasa Melayu 1, karangan berpandu memperuntukkan 30 markah dan Bahagian B, karangan pilihan berdasarkan dimensi menyumbangkan 100 markah. Banyak coretan saya berkaitan bahagian soalan kertas BM1, saya coretkan selama ini dan insya Allah, dalam kesempatan ini saya, coretkan lagi kriteria karangan Cemerlang kertas karangan berkenaan. Diharapkan pelajar Kelas 5 Sains, Kelas 4K1 dan 4K2 SMK Seri Londang boleh mengambil kesempatan merujuk kriteria karangan cemerlang yang saya maksudkan, dan jika mampu saya akan memasukkan Jadual Pengembangan Idea Karangan untuk bahagian Perenggan Pengenalan, Perenggan Isi dan Perenggan Penutup.

             Sebagai peringatan kepada pelajar, untuk menghasilkan karangan kertas BM 1, bukan boleh setakat membaca karangan terbaik hasilan rakan sebaya, membaca daripada buku, menghafal karangan, tetapi perlu dipraktikkan dengan menghasilkan karangan berdasarkan usaha pelajar sendiri. Namun, sebagai pengukuhan ke arah menghasilkan karangan cemerlang program menyalin karangan amat penting, terutama untuk melihat bagaimana pelajar cemerlang dapat menghasilkan karangan yang baik. Oleh sebab itu, amat penting pelajar memahami kriteria karangan cemerlang, terutama dengan faham kriteria karangan cemerlang akan memandu pelajar memilih karangan terbaik sahaja semasa melaksnakan program menyalin, di samping dengan kriteria berkenaan pelajar akan dipandu untuk menghasilkan karangan cemerlang atas atau A+.


    *** Pengolahan dan huraian isi karangan perlu matang dan  memperlihatkan pertautan antara idea..


Karangan cemerlang atas memerlukan kematangan semasa mengarang, terutama semasa mengolah dan mengembangkan huraian isi, serta diikuti dengan contoh dan terdapat unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) terutama membuat ulasan sebab dan akibat berkaitan. Kemahiran mengarang dan kematangan mengarang hanya akan terhasil dengan latihan yang kerap serta mendapat bimbingan guru. Bahkan juga, seorang pelajar perlu mempunyai perbendaharaan kata yang luas atau mampu menyelitkan istilah menarik serta mahir menggunakan penanda wacana semasa memulakan isi karangan, atau ayat baru semasa menghurai dan mengembang isi karangan. Pelajar mampu memperoleh markah cemerlang dengan usaha yang berterusan dan saya tegaskan lagi perlu mendapat bimbingan daripada guru mata pelajaran Bahasa Melayu anda kerana hanya jauhari mengenal manikam.


Bagaimana untuk menghasilkan karangan cemerlang? Terdapat pelbagai cara dan kaedah digunapakai oleh seseorang guru untuk membimbing murid menghaslkan karangan cemerlang. Antara kaedah yang saya gunapakai dengan menggunakan jadual pengembangan idea perenggan pengenalan, perenggan isi dan perenggan penutup. Murid mungkin kehairanan apabila rakan-rakan mereka mampu menghasilkan perenggan karangan yang panjang dan seimbang?


KAEDAH MENGARANG MENGGUNAKAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA  KARANGAN

         Karangan cemerlang memerlukan pelajar menghasilkan perkembangan dan pengolahan hurain isi secara harmoni, ibarat aliran air sungai yang tenang dan mendamaikan hati pembaca atau dalam peperiksaan lebih tepat kepada pemeriksa kertas. Oleh sebab itu, murid perlu memastikan karangan yang dihasilkan dapat memuaskan hati pemeriksa untuk terus membaca karangan berkenaan bermula daripada perenggan pengenalan hinggalah ke perenggan penutup kerana impresion seseorang pemeriksa akan menentukan markah karangan anda sama ada dalam skop markan cemerlang, baik mahupun sederhana. Diharapkan dengan adanya Jadaul Pengembangan Idea Karangan akan mampu membantu pelajar menghasilkan karangan cemerlang.


MODUS OPERANDI JADUAL PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN PENGENALAN

PERKARA
PENERANGAN

LAGU/ AYAT QURAN/KATA-KATA PEMIMPIN, BERITA, DAN RUJUK JENIS-JENIS PENGENALAN YANG PERNAH SAYA TULIS DALAM BLOG INI.

BAHAGIAN INI, PELAJAR PERLU MEMILIH PENGENALAN YANG SESUAI, MANTAP, DAN DAPAT MEMBERI KESAN KEPADA IMPRESION PEMERIKSA.

AYAT RANGSANGAN  1

AYAT DIBINA UNTUK MERANGSANG PEMERIKSA TERUS MEMBACA DAN AYAT RANSANGAN 1 PELAJAR MENGAITKAN PENGENALAN DENGAN FOKUS/TEMA KARANGAN.

 Membina ayat rangsangan dengan kata tanya  apa berkaitan fokus 

/tema pengenalan yang dipilih?

AYAT RANGSANGAN  2

AYAT RANGSANGAN KEDUA- MENERUSKAN RANGSANGAN DAN MINAT PEMERIKSA MEMBACA PERENGGAN. PELAJAR TERUS MENJELASKAN AYAT RANGSANGAN 1 BERKAIT DENGAN FOKUS/TEMA.

( Bijaksana Memilih Penanda Wacana- Membina ayat rangsangan 2 dengan kata tanya mengapa - fokus/ tema?

AYAT RANGSANGAN  3

MENERUSKAN RASA MINAT  PEMERIKSA TERHADAP KARANGAN PELAJAR DAN PELAJAR MENGEMBANGKAN FOKUS/TEMA

( Bijaksana Memilih Penanda Wacana- Membina ayat rangsangan 3 dengan kata tanya  bagamana - fokus/ tema?

FRASA MENARIK

PEMERIKSA TERPEGUN DENGAN FRASA MENARIK YANG DITULIS PELAJAR, SAMA ADA PERIBAHASA, KATA-KATA PEMIMPIN, PETIKAN AL QURAN, DAN SEBAGAINYA

Peribahasa Melayu ada mengatakan/ Kata-kata pemimpin tuliskan nama/ Firman Allah ……………………………………….. ulaskan sedikit. Frasa menarik boleh berada di mana-mana pada ayat pada perenggan pengenalan. Pelajar yang bijaksana boleh menyelitkan lebih satu frasa menarik pada perenggan pengenalan.

UNSUR KBAT

KESAN DAN AKIBAT- TAJUK ATAU TEMA SECARA UMUM

Sekiranya…………………………….. kesan/akibatnya…………………………….
Unsur KBAT, merupakan kematangan pelajar selain menyusun atur ayat rangsangan secara kronologi dalam pengembangan idea dalam perenggan pengenalan.

AYAT ARAHAN

MENULIS  AYAT TUGASAN / PERSOALAN -BERDASARKAN TAJUK DIPILIH

Persoalannya, bagaimanakah…….tema/tajuk karangan…….
Berfungsi sebagai penegasan terhadap tema/ arahan soalan.

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  (UMUM)

TEMA/ KATA KUNCI ISI

PELAJAR MENULIS KATA KUNCI / ATAU ISI- YANG HENDAK DITULIS

( APA  ISI YANG HENDAK DIPERKATAKAN)

AYAT HURAIAN 1

AYAT HURAIAN ISI.

(MENGAPA- TENTANG ISI)

PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT HURAIAN 1:-

AYAT HURAIAN 2

AYAT HURAIAN ISI SETERUSNYA

( BAGAIMANA – ISI TERSEBUT BERLAKU ATAU TERJADI)
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT HURAIAN 2.

AYAT HURAIAN 3

AYAT HURAIAN ISI SELANJUTNYA.

(KENAPA – BERKAITAN KETERANGAN ISI SELANJUTNYA )

PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT HURAIAN 3.

AYAT CONTOH

AYAT CONTOH- PERLUNYA PELAJAR BANYAK MEMBACA UNTUK MENGAITKAN ISI DENGAN CONTOH SEMASA (KEMATANGAN)
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT CONTOH.

UNSUR KBAT

SEBAB DAN AKIBAT-  JIKA BERLAKU----JIKA TIDAK…….KESANNYA……..
PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH PENANDA WACANA SESUAI  UNTUK MEMULAKAN AYAT

FRASA MENARIK

PEMERIKSA TERPEGUN DENGAN FRASA MENARIK YANG DITULIS PELAJAR, SAMA ADA PERIBAHASA, KATA-KATA PEMIMPIN, PETIKAN AL QURAN, DAN SEBAGAINYA.

SEKIRANYA PELAJAR BIJAK- FRASA MENARIK BOLEH DISELIT DI MANA-MANA RUANG PADA JADUAL PENGEMBANGAN ISI PERENGGAN

AYAT  ARAHAN

TEGASKAN SEMULA ISI TEMA

KONKLUSINYA/SUDAH TELAH TERANG BERSULUH /JELASNYA / TEGASNYA…………..TULIS SEMULA ISI YANG DIFOKUS PADA PERMULAAN TEMA PERENGGAN ISI PERTAMA

JADUAL  PERENGGAN PENUTUP KARANGAN

Ayat Penyimpul

Konklusinya, ( Penekanan kepada tajuk/ tema)

Ayat cadangan

Apa……cadangan/ sama ada mengulang isi  pada setiap perenggan atau masukkan cadangan lain

Ayat huraian cadangan

Huraikan kenapa pentingnya......tema?

Ayat huraian mengapa

Cadangan diutarakan

Huraikan bagaimana - tema dengan lebih lanjut ?

Unsur KBAT

Kesan dan akibat - Sekiranya/ Jika.........tajuk dan kesan atau implikasinya.

Frasa menarik

Selitkan peribahasa/ Kata-kata pemimpin/ petikan ayat Al Quran atau hadis dsb.

Ayat harapan

Apa harapan anda terhadap tajuk/tema

Semoga, Jadual Pengembangan Idea Karangan di atas dapat membantu pelajar menghasilkan karangan cemerlang.

CONTOH HASILAN PENGGUNAAN JADUAL PENGEMBANGAN IDEA KARANGAN

LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN  BIDANG SUKAN NEGARA

LAGU/ AYAT QURAN/

DSB

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,
………………………………………………………

AYAT RANGSANGAN  1

Lirik lagu  Negaraku meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya sebagaI seorang warganegara Malaysia.

AYAT RANGSANGAN  2

Begitu juga diharapkan lagu ini akan memancarkan semangat patriotisme kepada individu, atau masyarakat.

AYAT RANGSANGAN  3

Seyogia sebagai warganegara yang sayang akan negara, kita perlu berkorban apa sahaja aktiviti yang kita lakukan contohnya dalam bidang sukan.

FRASA MENARIK

Harimau mati meninggal meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

AYAT RANGSANGAN

Para atlet ternama negara seperti Allahyarham Mohtar Dahari, Dato’ Nicol  Ann David,  Dato’ Misbun Sidek, Dato’ Lee Chong Wei dan banyak lagi altet negara telah banyak mewarnai sukan negara terutama untuk memartabatkan negara agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara terbilang dalam acara sukan.

UNSUR KBAT

Sekiranya atlet-atlet negara di atas tidak melakar nama negara di mata dunia, sudah pasti nama negara tidak akan dikenali oleh masyarakat dunia.

AYAT ARAHAN

Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk memajukan sukan negara kerana mutu sukan negara kita ada kalanya pasang dan ada kalanya surut.

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI PERTAMA

 Kata Kunci Isi

Pada hemat saya, antara langkah untuk  memajukan bidang sukan di negara kita adalah dengan menyediakan imbuhan kepada atlet sukan yang telah berjaya dalam karier mereka sebagai atlet bertaraf dunia.

Ayat huraian 1

Hal ini demikian kerana  dengan adanya imbuhan lumayan atau insentif tersebut para atlet akan lebih bersungguh-sungguh mempertajam kemahiran mereka untuk berhadapan atlet-atlet besar dunia.

Ayat huraian 2

Oleh itu, adalah tidak salah jika atlet-atlet yang telah mencurahkan keringat dan berjaya dipersadana dunia diberi imbuhan setimpal dengan jasa dan bakti mereka menggugat dan mengatasi jaguh-jaguh atlet sukan ternama dunia.

Ayat huraian 3

Kini, atlet negara kita amat disegani oleh atlet dunia terutama dalam permainan badminton, squash, acara larian sukan paralimpik, acara terjun lompat anjal, lompat kijang dan sebagainya kerana mereka telah membuktikan bahawa mereka setaraf dengan jaguh bertaraf dunia yang lain.

Ayat contoh

Tamsilnya, atlet paralimpik negara seperti Latif Romli yang telah menggegarkan dunia, bukan sahaja memecah rekod atlet dunia dalam acara lompat kijang, malahan memecahkan rekod sendiri di Stadium Olimpik Reode Janeiro, Brazil. Diikuti pula nama seperti  Ziyad Zolkefli memecah rekod acara lontar peluru dan Muhamad Ridzuan Mohamad Puzi menjadi johan dalam acara lari 100 meter, perkembangan terbaru ini membanggakan warga negara Malaysia dan menambahkah sinar  Kontijen Sukan Paralimpik Negara.

Unsur KBAT

Sekiranya, insentif ini tidak diberi sudah pasti mutu sukan negara tidak akan setaraf dengan perkembangan sukan negara maju. Malahan untuk kita melihat lebih ramai anak bangsa berjaya dalam bidang sukan agak sukar.

Frasa menarik

Peribahasa Melayu ada mengatakan jauh perjalanan luas pemandangan.

Ayat  penegas

Benarlah bahawa menyediakan imbuhan yang lumayan kepada atlet dapat memajukan bidang sukan negara.

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI KEDUA

Tema/ Kata Kunci Isi

Peningkatan prestasi ahli sukan juga dipengaruhi oleh peningkatan latihan secara intensif.

Ayat huraian 1

Hal ini demikian kerana melalui latihan intensif  menyebabkan  ahli sukan dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang sukan yang diceburi justeru, mutu sukan negara pasti akan lebih meningkat.

Ayat huraian 2

Bahkan juga, dengan latihan intensif akan meningkatkan jumlah pingat yang diperoleh dalam kejohanan yang disertai.

Ayat huraian 3

Peningkatan latihan juga dapat melahirkan atlet yang berkualiti yang setaraf dengan atlet antarabangsa.

Ayat contoh

Sebagai contoh, menghantar atlet negara menjalani latihan bersama atlet daripada negara luar.

Unsur KBAT

Sekiranya atlet tidak melakukan latihan yang mencukupi, serta didedahkan dengan latihan intensif menggunakan kepakaran pakar sukan luar negara yang terkenal menggunakan pendekatan saintifik semasa sesi latihan.

Frasa menarik

Peribahasa ada mengatakan , jauh perjalanan luas pemandangan, begitulah hakikatnya dengan atlet yang mendapat latihan di luar negara. banyak ilmu dan pendedahan kemahiran sukan yang mereka terima selama mana mereka berada di sana.

Ayat  penegas

Sudah terang lagi bersuluh, bahawa latihan intensif yang banyak turut menyumbang kepada kemajuan bidang sukan negara.

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI KETIGA

Tema/ Kata Kunci Isi

Dalam pada itu, atlet sewajarnya didedahkan ke dalam kejohanan yang bertaraf antarabangsa turut menyumbang kepada langkah memajukan bidang sukan di negara kita.

Ayat huraian 1

Pendedahan kepada atlet dalam kejohan bertaraf antarabangsa akan meningkatkan pengalaman atlet akan bertambah

Ayat huraian 2

Hal ini disebabkan, atlet negara akan berkongsi pengalaman dengan atlet negara lain.

Ayat huraian 3

Imej negara juga akan meningkat apabila penglibatan atlet negara kita dalam pertandingan yang bertaraf antarabangsa contohnya, sukan Olimpik dan ASEAN.

Ayat contoh

Tamsilnya, pendedahan dalam kejohanan  antarabangsa kepada saudara Ziyad menyebabkan Malaysia memperoleh pingat emas dalam sukan yang menjadi perhatian seluruh dunia iaitu Sukan Paralimpik di Brazil

Unsur KBAT

Seadainya, kerajaan tidak memberi pendedahan kepada para atlet, nescaya para atlet negara kita akan mempunyai masalah dalam bidang pengurusan dan Teknik dalam kejohanan yang dianjurkan.

Frasa menarik

Benarlah kata Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘sekiranya kita sanggup menghadapi risiko  dan bersikap berani, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh berjaya’.

Ayat  penegas

Natijahnya, kerajaan sewajarnya berani mengambil risiko demi kejayaan atlet negara

JADUAL PENGEMBANGAN ISI / IDEA BAHAGIAN PERENGGAN ISI  KEEMPAT

Tema/ Kata Kunci Isi

Seterusnya, usaha penyediaan prasarana sukan di peringkat negara, negeri, daerah, dan kampung perlu diberi keutamaan.

Ayat huraian 1

Prasarana sukan amat penting untuk kegunaan masyarakat kerana dengan adanya kemudahan berkenaan di semua lokasi strategik sama ada di peringkat negara, negeri, daerah dan kampung, memudahkan masyarakat mengunjunginya.

Ayat huraian 2

Oleh sebab itu, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Luar Bandar perlu memberi perhatian terhadap prasarana sukan untuk masyarakat bukan saha tertumpu di bandar, malah juga di luar bandar.

Ayat huraian 3

Hal ini kerana, dengan adanya prasarana serta kelengkapan sukan berkenaan masyarakat boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk beriadah tidak kira di mana mereka berada.

Ayat contoh

Sebagai contoh, setiap kampung kini telah dibina gelanggang futsal yang selalu digunapakai remaja kampung.

Unsur KBAT

Sekiranya usaha sebegini dilakukan secara berterusan, sudah pasti usaha untuk memajukan sukan negara akan sampai ke akar umbi iaitu melibatkan masyarakat keseluruhan, sama ada mereka tinggal di bandar mahupun kampung.

Frasa menarik

 Sila lengkapkan.

Ayat  penegas

  Sila lengkapkan.

JADUAL  PERENGGAN PENUTUP KARANGAN

Ayat Penyimpul

Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh kerajaan perlu berusaha untuk meningkatkan mutu sukan negara agar kejayaan sukan negara terserlah dan digeruni masyarakat dunia.

Ayat cadangan

Seyogia, usaha untuk membina dan meningkatkan prasarana sukan, latihan secara intensif, pemberian insetif sukan kepada atlet sukan berjaya di peringkat antarabangsa merupakan antara inisiatif untuk memajukan sukan negara.

Ayat cadangan

Usaha-usaha yang lebih proaktif perlu diberikan keutamaan seperti menggunakan kepakaran pelatih professional dari luar negara antara cadangan yang perlu diutamakan oleh Majlis Sukan Negara dan Kementerian, Belia dan Sukan.

Ayat cadangan

Oleh sebab itu, pihak kerajaan perlu menyuntik lebih banyak budget berbentuk kewangan untuk meningkatkan mutu sukan negara agar keperluan atlet seperti prasana latihan dan kebajikan atlet sentiasa terjaga.

Frasa menarik

Kita tidak mahu usaha untuk memajukan sukan negara hanya ibarat hangat-hangat tahi ayam atau sudah terhantuk baru tergadah untuk memajukan sukan negara kerana didapati mutu sukan negara sentiasa jauh ketinggalan berbanding mutu sukan negara maju dunia.

Unsur KBAT

Sekiranya usaha untuk memajukan mutu sukan negara, sudah pasti ranking sukan negara berada di bawah negara Asia yang lain , apatah lagi negara jika dibandingkan mutu sukan negara terhebat dunia seperti Australia, Jepun, Amerika dan Rusia.

Ayat harapan

Diharapkan dengan usaha berterusan pihak bertanggungjawab untuk memajukan mutu sukan negara, atlet Malaysia akan dapat meyaingi atau duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia.


Sumber:https://cikguramsulbmspm.blogspot.com/2018/01/panduan-dan-kriteria-karangan-cemerlang.html  

26May

1. Binaan Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan biasanya dibina berdasarkan tugas-tugasnya sebagai:

1. Penyataan Umum

2. Ayat Huraian

3. Ayat Rangsangan

4. Ayat Pandu/Arah

Contoh binaan perenggan pengenalan bagi tajuk karangan‘Amalan berjimat cermat’:

Ayat Penyataan:

- Penegasan

- alasan

Amalan berjimat cermat ialah amalan yang mulia dan perlu ditanamkan dalam diri setiap warga masyarakat.

Kebaikan amal ini sudah diakui dan sering dijadikan topik perbincangan kerana masih ramai yang mengabaikannya.

Ayat huraian:

- jenis perbandingan

- ibarat

- faedah

Orang yang tidak mengamalkan sikap berjimat cermat atau orang yang suka membazir ialah orang yang rugi.

Bak kata peribahasa ‘sediakan paying sebelum hujan’, amalan berjimat banyak faedahnya.

Ayat rangsangan:

- memujuk perasaan

- rasa ingin tahu

- bentuk penyoalan

Berdasarkan peribahasa ini, masyarakat perlu lebih sedar akan kesan-kesan buruk amalan membazir.

Jadi, apakah perkara yang perlu kita jimatkan dalam kehidupan kita seharian?

Ayat pandu/arah:

- tujuannya untuk memandu pembaca tentang hala tuju karangan

- lima aspek ingin dibahasakan

Sememengnya terdapat lima perkara yang perlu kita jimatkan dalam kehidupan yang serba moden ini iaitu masa, air, wang, elektrik dan makanan.

2. Binaan Perenggan Isi

Perenggan isi digunakan untuk menyampaikan idea. Penyampaian idea tentang isi hendaklah jelas supaya cepat diterima atau difahami oleh pembaca. Keberkesanan perenggan isi hanya berlaku jika ayat-ayat yang digunakan saling menyokong dan berpusat pada idea utama yang tertulis dalam bentuk ayat topik. Perenggan isi hanya perlu mengandungi satu idea utama. Perenggan isi biasanya dibina berdasarkan tugas-tugasnya sebagai:

1. Ayat Topik

2. Ayat Huraian

3. Ayat Contoh

4. Ayat Sokongan

5. Ayat Rumusan

Misalnya, salah satu idea atau isi utama bagi tajuk karangan ‘Amalan berjimat cermat’ ialah masa. Maka, faktor masa hendaklah dijadikan ayat topik bagi perenggan isi.

Contoh binaan perenggan isi untuk faktor masa:

Ayat topik

Masa sangat penting dalam kehidupan kita dan penggunaannya hendaklah diurus dengan baik.

Ayat huraian

Orang yang tidak tahu mengurus masa akan berhadapan dengan pelbagai masalah.

Ayat contoh

(dua atau tiga contoh boleh dinyatakan)

Misalnya kita sering mendengar kisah-kisah kegagalan pelajar yang suka membuang masa tanpa mengulang kaji pelajaran sedangkan waktu peperiksaan semakin dekat. (Satu contoh saja)

Ayat sokongan

Bahkan dalam agama Islam sendiri telah mengingatkan kita betapa ramai dalam kalangan manusia yang sentiasa dalam kerugian kerana lalai dalam aspek pengurusan masa. (Menyokong contoh di atas)

Ayat rumusan

Jadi, untuk memperolehi kejayaan dalam hidup pengurusan masa adalah sangat mustahak.

3. Binaan Perenggan Penutup

Untuk meninggalkan kesan tertentu kepada pembaca, perenggan penutup dibina menggunakan strategi yang mengandungi beberapa ayat yang berfungsi sebagai:

Ringkasan,

Rumusan,

Keputusan,

Penegasan,

Imbasan,

Bandingan,

Amaran,

Harapan,

Ramalan,

Kesan ,dan

Cadangan.

Perenggan penutup boleh dibina menggunakan satu atau beberapa fungsi di atas sekali gus jika sesuai. Misalnya, bagi contoh karangan bertajuk ‘Amalan berjimat cermat’ boleh dibina seperti berikut:

Ringkasan

Dalam konteks berjimat cermat kita mestilah menjimatkan penggunaan masa, air, wang, elektirik dan makanan.

Ulasan

Kelima-lima aspek ini sangat mustahak dalam kehidupan kita.

Cadangan

Amalan berjimat cermat hendaklahdibudayakan dalam hidup, khasnya kepada generasi baharu yang akan menjadi pelapis dan pemimpin akan datang.

Amaran

Kita perlu sedar bahawa orang yang suka membazir ialah orang yang tidak tahu bersyukur dan menyusahkan banyak pihak.

Harapan

Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut seruan kerajaan agar amalan ini dijadikan sebagai amalan sepanjang hayat.


26May

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORONGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK


Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

          Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.

          Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.

          Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.

          Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.
15May

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA


1

PENDAHULUAN


Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat dibicarakan semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, semua sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.


2


Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.


3


Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga,jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.


4


Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh mengguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar, Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.


5


Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.


6


Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, 'Tragedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua'. Wajarkah orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.


7


Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertaman, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yang penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.


8

KESIMPULAN


Tuntasnya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur kepada anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan transformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.

I BUILT MY SITE FOR FREE USING